Bekas isteri minta Radhi OAG bayar RM300,000 selesai kes pukul luar mahkamah

PETALING JAYA: Bekas isteri Radhi OAG meminta bayaran RM300,000 susulan persetujuan mereka menyelesaikan kes di luar mahkamah, berhubung dakwaan wanita itu dicederakan penyanyi terbabit.

Nur Shahira Ayu Zahiri, 29, berkata bekas suaminya itu boleh melunaskan bayaran penuh atau RM1,000 sebulan untuk tidak membebankan penyanyi itu, yang bertujuan bagi keperluan anak.

“Saya faham situasi Radhi, permintaan (RM300,000) untuk anak-anak dan Radhi sudah setuju dengan perkara itu. Selepas ini, kami akan buat ‘hitam putih’ (dokumen rasmi) untuk tandatangani (persetujuan).

“Sebenarnya Radhi nak beri RM5,000 dan RM500 sebulan, saya rasa tidak cukup untuk dua anak. Saya juga perlu bayar pinjaman kereta dan rumah, selain keperluan baju, makanan, vitamin, tuisyen dan sekolah anak.

“Zaman sekarang bukan macam 1960-an, 1970-an. Kalau diikutkan saya mahu lebih daripada jumlah itu tetapi bila bincang saya minta RM300,000,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding kes itu di Mahkamah Majistret, hari ini.

Radhi atau nama sebenar, Muhammad Radhi Razali, 46, dibicarakan dalam kes mendatangkan kecederaan kepada Nur Shahira mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu ketika prosiding, Nur Shahira memaklumkan hasrat menarik balik kes itu hasil perbincangan dengan Radhi, selain mahu menjimatkan masanya dan mahkamah.

“Saya sudah berbincang dengan Radhi), saya ingin menarik balik kes atas sebab tertentu.

“Salah satunya ingin menjimatkan masa saya dan mahkamah. Saya faham pekerjaan Radhi, maka saya ingin tarik balik kes dan selesaikan secara baik,” katanya.

Majistret, Muhammad Iskandar Zainol, kemudian menetapkan 24 Julai bagi sebutan semula kes untuk perkembangan laporan polis yang perlu ditarik balik oleh mangsa susulan persetujuan menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Loh Xian Yee manakala Radhi diwakili peguam, Haziq Aizuddin Subhi.

Mengenai tawaran rumah oleh Radhi, Nur Shahira mengesahkannya dan bekas suaminya itu mahu dia serta dua anak tinggal di rumah itu.

“Untuk apa (tawaran rumah)? Nak suruh dia (Radhi) datang ke? Saya pun ada beli rumah dan kereta sendiri. Saya ada semua itu, minta maaf nak cakap kalau boleh tidak mahu ada apa-apa (dengan Radhi), untuk anak-anak saja.

“Saya serius sudah penat, benda ini banyak kali berlaku (insiden dipukul) dan kali ini saya buka kes (lapor polis).

“Radhi pun tidak mahu mengaku (salah) dan saya penat turun naik mahkamah, lebih baik saya akhiri kes ini,” katanya.

Sumber RK

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*